Sejarah Jalan Penarikan

Assalamualaikum, Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan yang Maha Mengetahui yang menggerakkan hati dan jari-jemari saya untuk menulis tentang hal yang saya dah lama nak tulis tapi sampai sekarang barulah ada ilham nak menulis.

Ia adalah berkenaan sejarah bangsa kita yang telah dilupakan. Berkenaan betapa agungnya Tanah Bertuah Semenanjung Tanah Melayu ini. Yang kita lupa, atau buat-buat lupa, atau dilupakan. Wallahua’lam.

JALAN PENARIKAN

Jalan Penarikan ialah jalan pengangkutan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu bagi menghubungkan Laut China Selatan ke Selat Melaka. Jalan Penarikan terletak di Pertemuan Sungai Serting dan Sungai Jempol yang bersambung terus ke Sungai Muar dan keluar ke Selat Melaka.

Berikut fakta fakta menarik pasal Jalan Penarikan ini:-

Pada kurun ke-14 hingga 15 Masihi dikatakan bala tentera Siam menggunakan Jalan Penarikan ini sebagai pangkalan barisan hadapan dan juga laluan logistik mereka dalam operasi menggempur kedudukan tentera Melaka. Bahkan hingga kini terdapat satu kubur yang dikatakan merupakan kubur komander tentera Siam tersebut bertanda 1265 Masihi. Selain itu terdapat juga kesan kesan penggalian terusan di lokasi Jalan Penarikan.

Dipercayai ia dibuat oleh tentera tentera Siam sebagai satu alternatif untuk membawa bekalan logistik tentera mereka terus dari Sungai Serting tanpa perlu menarik kapal kapal tersebut atau memunggah keperluan logistik dari pelabuhan Sungai Serting ke pelabuhan Sungai Jempol. Namun dipercayai gagal disiapkan. Kedalaman penggalian terusan dianggarkan sekitar 20-30 kaki dalam.

Percaya atau tidak, kesemua sungai sungai di Semenanjung Malaysia ini satu masa dahulu mempunyai kedalaman sekitar 30-40 kaki. Ini membolehkan kesemua jenis kapal dan perahu layar dapat belayar dan mudik hingga ke kawasan hulu. Sekarang semua itu sudah tiada lagi.

Ketika aktiviti pengembangan dan penyebaran agama Islam giat dilakukan sekitar abad ke-14 dan 15, para pedagang dari Semenanjung Tanah Arab dan India seringkali cuba mengelakkan laluan berbahaya di sepanjang Selat Melaka khususnya apabila memasuki kawasan selatan Semenanjung Tanah Melayu kerana bimbang akan ancaman lanun yang hebat pada masa itu. Mereka mengadukan masalah ini kepada Kerajaan Islam Pasai yang berpusat di Sumatera. Atas nasihat orang Pasai, maka para pedagang dan pendakwah Arab dan India ini diperkenalkan dengan laluan ini. Ia juga merupakan salah satu sebab kenapa agama Islam begitu mudah dan cepat tersebar hingga ke hulu Semenanjung Tanah Melayu.

Kisah Hang Tuah yang pergi berjumpa dengan Tun Teja dan membawa balik Tun Teja dari Pahang ke Melaka juga dikatakan menggunakan Jalan Penarikan ini.

Semasa Portugis menyerang dan menakluk Melaka pada Ogos 1511, dikatakan Jalan Penarikan ini telah digunakan oleh Sultan Mahmud dan orang orang beliau untuk melarikan diri ke Pahang.

Kebangkitan Mat Kilau menentang penjajahan British di Pahang mendapat sokongan bukan sahaja orang Melayu dalam negeri Pahang bahkan dari Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan. Dikatakan Jalan Penarikan ini lah kerap digunakan oleh Mat Kilau untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dari Negeri Sembilan. Selain itu pejuang pejuang Melayu juga turut menggunakan Jalan Penarikan ini ke Pahang untuk membantu perjuangan Mat Kilau dan Dato’ Bahaman menentang British.

Selain menggunakan Jalan Penarikan ke Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga turut digunakan sebagai laluan air / sungai ke Perak melalui Sungai Pahang naik ke sebelah hulu iaitu di Kuala Lipis.

Pada 1613 satu peta tentang Jalan Penarikan telah dibuat oleh seorang pengembara Portugis bernama Godinho de Eredia (walaupun ada mengatakan peta Jalan Penarikan ini dibuat pada tahun 1598). Dikatakan laluan ini mengambil masa selama 6 hari untuk sampai ke Pekan dari Muar melalui Sungai Muar – Sungai Jempol – Jalan Penarikan – Sungai Serting – Sungai Bera – Sungai Pahang.

Jalan Penarikan pada zaman dulu boleh diibaratkan seperti KLIA pada masa kini.
Jalan Penarikan ini mendapat namanya kerana aktiviti penarikan kapal,sampan, perahu, jong dan pelbagai muatan. Aktiviti menarik ini dilakukan oleh orang Asli dan orang kampung berdekatan. Upahnya pula cukup ringkas dan sesuai pada zaman itu iaitu garam, gula, beras, tembakau dan pelbagai barang keperluan harian. Tiada duit digunakan pada masa itu.

Walaupun jarak Jalan Penarikan ini sekitar 600 meter sahaja namun ia juga bergantung kepada kapasiti saiz kapal dan muatan yang hendak ditarik. Sebuah perahu memakan masa kira kira 2 jam dengan kekuatan 14 orang untuk ditarik dari Sungai Jempol ke Sungai Serting. Bayangkan lah jika kapal layar bersaiz besar, jong atau lancang layar yang memang bersaiz besar sudah tentu sekurang kurangnya paling tidak setengah hari atau sehari semalam.

Beberapa orang pengembara dan pegawai British seperti Charles Gray (1827) dan Daly (1865) pernah membuat catatan sejarah menyebut tentang tempoh masa diambil untuk menggunakan laluan Jalan Penarikan dan Sungai Muar serta Sungai Jempol. Charles Gray menyatakan bahawa dia mengambil masa selama 8 hari menggunakan laluan Sungai Jempol dan Sungai Muar ke Melaka dari kawasan Jalan Penarikan. Manakala, Daly pula menyatakan selama 10 hari masa diambil untuk menggunakan laluan tersebut.

Apabila jalan darat seperti jalanraya dan landasan keretapi dibina oleh British di kawasan Johol, Serting, Jempol dan sewaktu dengannya pada hujung abad ke-19 Masihi terutama ketika memuncaknya era Revolusi Perindustrian yang melibatkan industri galian bijih timah dan getah. Maka sejak itu lah populariti Jalan Penarikan terus merudum dan tinggal terbiar tidak digunakan hingga ke hari ini. Menurut ahli kaji sejarah tempatan dan penduduk warga emas (yang berusia 70 tahun ke atas), sudah lebih 100 tahun Jalan Penarikan ini tidak digunakan. Kebanyakkan kawasan sungai di kawasan Jalan Penarikan kini sudah menjadi makin cetek dan tidak terurus. Dikatakan kedalaman sungai tersebut kini sudah tidak sampai 5 kaki sekali pun.

Nak Lagi?

Terdapat juga beberapa misteri yang terjadi di kawasan ini. Datuk Sempedang yang mengetuai rombongan orang-orang Pasai sewaktu tiba di tempat ini adalah seorang yang warak. Sewaktu Datuk Sempedang meninggal dunia, dia dikebumikan di kawasan Sg Pertemuan.

Sewaktu banjir besar yang terjadi pada tahun 1971, kawasan kubur ini dikatakan tidak lansung dimasuki air sedangkan ianya terletak berhampiran kawasan sungai. Penduduk di kawasan ini mengatakan tiada lansung kesan air mahupun sampah-sarap yang kelihatan.

Perkara ini turut disaksikan oleh Wakil Rakyat pada waktu itu iaitu Tuan Haji Khatib dan juga guru Sekolah Menengah Rendah Jempol Tuan Hj Ismail. Selepas habis cerita mengenai banjir tersebut, terdapat satu projek mengambil pasir di kuala Sungai Jempol. Untuk menjayakan projek itu, mereka terpaksa lalu di atas kubur Datuk Sempedang. Namun begitu perjalanan mereka sering mengalami masalah sebaik sahaja mereka memasuki kawasan kubur tersebut. Pada awalnya enjin bulldozer tersebut tiba-tiba sahaja mati.

Sebaik sahaja ia berjaya dihidupkan, bulldozer tersebut tidak bergerak, malahan ia bagaikan terbenam di dalam tanah. Kemudiannya sebuah lori penarik dihantar untuk menarik bulldozer tersebut. Namun begitu nasib lori tersebut juga sama seperti bulldozer tersebut. Lori itu bukan sahaja tidak mampu menarik bulldozer tersebut, malahan ia juga tidak mampu bergerak.

Akhirnya mereka terpaksa membatalkan projek tersebut dan tidak pernah datang lagi ke tempat tersebut. Perkara ini diceritakan sendiri oleh pemandu bulldozer tersebut yang berbangsa Cina. Tidak lama kemudian kerajaan telah membina sebuah pam air berhampiran kawasan kubur itu hinggalah sekarang.

Makam Datuk Sempedang betul-betul di kawasan Jalan Penarikan

Komen saya, itu semua kuasa Allah, Mungkin Allah tak mahu bangsa melayu ni lupa akan susur galur mereka dan kekuatan iman orang-orang terdahulu. Sirathallazi na an’am ta’alaihim. Semoga kita semua dapat mewarisi ketangguhan mereka dalam menyebarkan agama islam dan baka yang baik ke Tanah Bertuah ini.

Baka yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau

Siapa Datuk Sempedang ni?

Berasal dari Pasai (sekarang di dalam Aceh) beliau dipercayai telah mengetuai satu kumpulan yang berhijrah ke Jempol abad ke 13 atau 14 Masihi (mengikut usia binaan makam tersebut).

Namun berdasarkan cerita-cerita tempatan, peristiwa ini katanya berlaku sebelum Kesultanan Melayu Melaka muncul (merujuk pada kiraan lama Melaka berdiri tahun 1400an, sedangkan tahun 2010 iaitu lebih 2 tahun selepas perbualan ini kerajaan negeri Melaka mengisytiharkan ia diasaskan tahun 1262 iaitu berdasarkan kiraan baru).

Sumber tempatan iaitu ketua kampung itu menambah, sebenarnya yang berhijrah dari Pasai  itu lebih ramai keluarga. Tetapi ada yang memilih untuk turun lebih awal sepanjang laluan Sungai Muar lalu membuka penempatan lain.

Ketua kampung itu juga memberitahu 9 orang keluarga itu datang selepas berlaku peristiwa ombak besar Tsunami yang meranapkan kampung halaman mereka iaitu di Pasai. Pasai terkenal sebagai pusat penyebaran islam dan tanah pertama di Nusantara menerima Islam dari Tanah Arab. Read (SAMUDERA PASAI) dan Sulalatus Salatin yang memetik sebuah hadis mengenai tanah bernama Samudera. Dipercayai Samudera Pasai itulah kerajaan di Acheh yang bersambung susur galurnya kepada kerajaan Pagar Ruyung.

Sekarang

Jalan Penarikan ni sangat gah pada satu ketika waktu dahulu. Pengembara dan Pedagang-pedagang dari India, Arab, Eropah, Jepun, China melalui jalan ini kerana ia adalah jalan pintas dari Bumi di sebelah Timur dan Bumi di sebelah Barat. Selain dari itu, Jalan ini juga bersambung terus dengan Selat Melaka tanpa perlu melalui Selat Tebrau yang pada ketika itu bermaharajalela dengan lanun.

Kalau kita tengok pada peta diatas, itulah Jalan Penarikan yang jarak dia lebih kurang 600 meter atau lebih kurang 300-400 ela. Dapat bayangkan tak betapa sibuknya kawasan tu satu ketika dahulu? fuh. I got chilling effect just imagining that. Haha.

Ia juga adalah satu tempat yang paling sibuk di dunia pada ketika itu. Ya! Paling SIBUK di dunia sebab ketika itu jalan air adalah jalan utama dan tak wujud lagi jalan tar, jalan darat dan kapal terbang. Kenapa? kerana perjalanan di air adalah yang paling laju ketika itu mengikut angin berlayar diatas air. Kereta kuda pada waktu itu tidak selaju kapal layar di atas air.

Sebelum dia buat tempat mengutip cukai oleh syahbandar-syahbandar Melayu pada ketika itu, jalan ni merupakan jalan legenda dan ramai orang nak tau mengenai jalan lagenda ni. Peta jalan ni ibarat harta karun dan orang-orang tertentu je tahu mengenai jalan ni. Fuh! Beratus-ratus tahun jalan dan tempat ni jadi legenda dan sebutan pedagang-pedagang dari seluruh dunia.

Sehinggalah Revolusi Perindustrian di Eropah baharulah pedagang2 ini mula menggunakan jalan kereta api dan jalan tar untuk mengangkut barangan. Ya kita tak boleh salahkan orang-orang terdahulu kenapa tak jadi kuasa industri. Pada masa itu, orang melayu sibuk membuat senjata dan berperang sesama sendiri. Sedih..

Warta Sejarah

View Fullscreen

Teori Aku

Ok. dah habis baca PDF tu? tahniah sebab sampai ke tahap ini membaca coretan aku yang sangat panjang ni. Sekarang ni aku nak bagitau teori aku.

Kalau tengok PDF tu ada 2 peta, satu gambar Chersonese tu yang menunjukkan Sungai Muar dan Pekan Pahang tu bersambung. Satu lagi peta yang menunjukkan yang adanya jalan penarikan.

So soalannya, jalan penarikan ni wujud sejak bila? Adakah wujud sejak zaman Sultan Muzaffar Shah, kalau wujud sejak zaman Sultan Muzaffar, yang juga sultan kedua Melaka, Siam yang gali terusan tu mati tahun bila? Dekat kubur jeneral siam tu ada tulis tahun 1265. Ada pertempuran besar pada waktu itu antara tentera Melaka dan Siam. Dan ianya pada tahun 1265. WHAT!! 1265?? Habis tu kalau 1265 yang bukak melaka tahun 1400 tu siapa?

Teori aku adalah, berdasarkan peta terusan melintang semenanjung melayu tu, terusan tu memang wujud sebelum “Ditutup”. Penutupan terusan atau Londar Siam tu menandakan tertutupnya sejarah Bangsa Melayu ini. Disimpan didalam Tabut Terahsia.. BERSEBAB!

Londar Siam tu maknanya Terusan Siam. Dibina oleh angkatan tentera Siam untuk menyerang Melaka pada 1265 pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah. Sebelum terusan tu dibina, jalan tu dinamakan Denau Penarikan. Yang bukak tempat tu adalah Datuk Sempedang ni. Dia jaga kawasan tu masa tu.

Bila datang Siam nak serang melaka ikut Pahang, diorang bina terusan tu untuk bawak kapal2 besar dari Siam serang Melaka. Mati Jeneral Siam yang menjajah tempat tu sebab termakan ular beracun tu. Dan menyebabkan Tentera Siam gagal menawan Melaka. Sebenarnye kisah ni ada dalam buku Sejarah Melayu. Cari lah.

Sejak itu, Melaka menjadi pusat kegemilangan perdagangan sebab jalan pintas dibuka oleh Siam. dan Siam kalah. Tempat tu sangat bersejarah. Maka bermulalah era kegemilangan Melaka selepas pembukaan Londar Siam ini.

Berbalik kepada soalan, sejak bila denau penarikan ni wujud semula? Sejak bila kapal kena jalan ikut darat? Teori aku adalah, selepas kejatuhan Melaka pada 1511, Sultan Mahmud Shah pada ketika itu lari ke Pahang ikut jalan ni. Dan beliau membuat keputusan untuk menutup terusan ini, buat Istana (Castle) disini, (Sekarang mungkin istana Serting). dan mempertahankan terusan ini supaya tak jatuh ke tangan penjajah.

Berdekatan dengan kawasan ini ialah Istana Seri Menanti dan Istana Iskandar (Fort Iskandar) di pertemuan Sungai Serting dan Sungai Lui di Pahang. Tujuannya adalah mempertahankan tapak Jalan Penarikan ni daripada penjajah supaya penjajah tak dapat bina Terusan Baru.

Kematian pejuang-pejuang Melayu dahulukala ditangan penjajah adalah disebabkan untuk mempertahankan denai ini tuan-tuan.. SAYANG!!! Seribu kali sayang tempat yang begitu bersejarah dibiarkan sepi..

Akhir kalam

Itu cerita lama, kita yang ada ni kene sentiasa ingat tentang sejarah kita dan belajar dari sejarah agar tak mengulangi kesilapan orang dahulu. Dan dalam masa yang sama, pelihara tempat-tempat peninggalan sejarah ni agar dapat dikenang oleh generasi-generasi akan datang.

Akhir kalam, tujuan saya menulis artikel ini adalah untuk membuka mata orang melayu untuk mengkaji sejarah yang sebelum ini dikatakan tidak logik. Ye lah nak pegi Seri Menanti terlajak ke Pahang, dan sebagainya. Kalau dipikir dengan jalan sekarang ni memang tak logik, kalau dikaji dengan jalan dahulukala iaitu jalan air, barulah datang kefahaman tu.

Kajilah sejarah mengikut suasana pada masa itu, semoga artikel saya ini bermanfaat.

Do you like this post?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *