Perihal Ilmu
Memelihara Amanah Ilmu.
Orang yang mempunyai ilmu, walaupun hanya satu alif, wajar memelihara amanah ilmu yang dimilikinya. Ilmu itu datang dengan amanah yang amat berat. Sekiranya seseorang itu tahu betapa berat amanah ilmu itu, sudah pasti dia akan berharap yang dia tidak memiliki ilmu.
Ilmu itu terisi didalam hati. hati itu bersifat seperti sebuah botol kaca yang mudah pecah. Botol kaca itu jika tidak digilap akan diselaputi debu2 yang akhirnya akan menjadi kerak dan menyebabkan hati itu keras. Sekiranya kerak debu itu menutupi mulut botol itu, tentunya ilmu tidak akan dapat masuk kedalam botol kaca itu. Jadilah hati itu kotor berkerak dan tiada manfaatnya.
Manakala ilmu itu bersifat seperti air, hanya akan mengalir dari tempat tinggi ke tempat rendah. Maka rendahkanlah hatimu sentiasa agar ilmu dapat mengalir ke dalam hatimu dengan mudah. Janganlah kamu terlalu meninggikan hatimu kerana dengan sebab itu, ilmu tidak akan dapat memasuki hatimu dan hatimu boleh pecah berderai apabila tidak dijaga dengan hati2 daripada jatuh menghempas bumi.
Ilmu itu haruslah sentiasa mengalir. Haruslah digunakan untuk memberi manfaat dan haruslah diajarkan kepada manusia lainnya kerana apabila ilmu itu tetap didalam hatimu tanpa mengalir, ia akan menjadi kotor, busuk dan berkeladak.
Ilmu yang sentiasa mengalir masuk dan keluar akan menghasilkan mendapan di dasar hatimu. Maka berhati-hatilah dengan apa yang diisi didalam hatimu agar mendapan itu memberi manfaat kepadamu. Andai mendapan itu emas, maka beruntunglah pemilik hati tersebut. Andai mendapan itu keladak kotor, maka sia-sialah umur pemiliknya.
Bersihkanlah bejana hati itu dengan ilmu yang bermanfaat agar pemiliknya beruntung di dunia dan akhirat.
Sekian nukilanku untuk menasihati diriku dan semua yang berpeluang membacanya.. Semoga Allah memberkati Ilmu, Rezeki, dan Amalan kalian semuanya…
..Tammat..
Perihal Ilmu